Bagaimana untuk mengawal perasaan ketika sedang hamil ?

Saat yang paling mengujakan bagi pasangan suami isteri adalah apabila tibanya saat menimang cahaya mata . Jadi pada entri kalini kami nak kongsi tips dimana bakal mama perlu tahu macam mana nak mengawal perasaan ketika hamil supaya kandungan sentiasa dalam keadaan yang baik .

Apa yang menyebabkan anda berasa tertekan semasa kehamilan?

 

Adalah perkara biasa untuk berasa tertekan pada masa-masa tertentu semasa hamil. Lagipun, mendapatkan bayi adalah suatu peristiwa yang akan mengubah hidup. Selain daripada tanggungjawab melahirkan orang baru ke dalam dunia, terdapat banyak lagi perkara yang mungkin bermain-main dalam minda anda.

 

Anda mungkin bimbang tentang kesihatan bayi anda, keputusan skan dan ujian-ujian dan kelahiran itu sendiri. Mungkin  perjalanan anda untuk ke tempat kerja memenatkan, atau anda bimbang tentang kewangan dan kos yang terlibat dengan adanya bayi baru. Atau mungkin anda bimbang yang bayi baru anda meletakkan tekanan ke atas hubungan anda suami isteri.

Bagaimana saya boleh membantu diri saya sendiri?

Apa saja yang yang membuat anda berasa tertekan, di sini adalah 10 langkah-langkah positif yang anda boleh ambil:

1. Adakan masa untuk berehat
Ambil masa untuk diri sendiri. Ia satu perkara yang baik untuk anda dan bayi anda, jadi jangan merasa bersalah tentang halnya. Di tempat kerja, carilah tempat untuk meletakkan kaki anda ke atas dan berehatlah semasa waktu rehat makan tengah hari anda. Sebaik sahaja anda di rumah, cuba untuk supaya tidak membuat terlalu banyak kerja-kerja rumah.

Jika anda berasa letih, masuklah tidur lebih awal. Badan anda sudah bekerja keras untuk menyuburkan bayi anda yang sedang membesar dan ini memerlukan seberapa banyak tidur yang boleh diperolehi.

Jika anda sudah seorang ibu, memang agak sukar untuk mencari masa untuk berehat. Adalah idea yang baik untuk meminta suami anda, rakan atau ibubapa untuk menjaga anak anda untuk sesuatu petang, sementara anda mendapatkan masa rehat yang harus diambil.

2. Berbincang tentangnya 
Jika anda bimbang tentang sama ada bayi anda sihat, sama ada dia akan dilahirkan dengan selamat, atau sama ada anda mampu memikul tugas keibubapaan, anda tidaklah bersendirian. Anda boleh merujuk kepada doktor anda untuk mendapat jaminan yang bayi anda adalah sihat. Tetapi berbincanglah dengan suami anda juga. Membincangkan kebimbangan anda boleh membuat anda berdua merasa lebih baik.

Jangan lupa bahawa rakan-rakan dan ahli keluarga boleh memberi sokongan yang baik. Anda boleh bertemu dengan bakal-bakal ibu lain yang juga berada di peringkat kehamilan yang sama seperti anda, mungkin di kelas keibubapaan. Ada kemungkinan bahawa sekurang-kurangnya setengah daripada mereka juga mengalami apa yang anda rasakan.

3. Makan dengan baik 
Pemakanan yang baik adalah baik untuk minda selain badan anda. Diet sihat yang mempunyai banyak asid lemak omega-3, vitamin dan mineral, boleh mengangkat tahap keceriaan anda.

Anggapan ialah bahawa asid amino tryptophan boleh meningkatkan paras bahan kimia melatonin dan serotonin dalam otak kita. Melatonin dan serotonin membantu kita untuk tidur dengan baik dan meningkatkan perasaan kesejahteraan anda. Tryptophan didapati secara semula jadi dalam pelbagai jenis makanan, termasuk kacang dan bijian, yang mudah untuk dibuat makanan ringan.

Anda tidak perlu berketerlaluan dengan diet anda untuk memastikan anda mendapat segala nutrien yang membantu. Sumber nutrien yang baik termasuk ikan berminyak, buah-buahan, kacang, biji, produk tenusu, daging tanpa lemak dan ayam itik, bijirin serta sayur-sayuran.

4. Bersenam
Senaman benar-benar dapat meningkatkan tahap keceriaan anda. Adalah agak selamat untuk bersenam semasa mengandung, selagi aktiviti-aktiviti anda tidak terlalu terlalu kuat. Berenang adalah ideal, sebab ia membuat badan anda kencang, dan ianya tidak terlalu keras bagi sendi anda.

Yoga untuk kehamilan bukan sahaja dapat meregangkan badan, tetapi juga mengajar anda teknik-teknik bernafas dan bertenang. Teknik-teknik ini adalah baik untuk membantu anda menangani keresahan yang anda alami.

Cuba masukkan senaman dalam kehidupan seharian anda. Di tempat kerja, bangunlah dan berjalanlah selalu, terutama jika anda terikat kepada kerja pejabat. Keluar sebentar pada waktu makan tengahari untuk mendapatkan udara segar, walaupun ia hanya untuk 10 minit.

5. Bersedia untuk kelahiran 
Anda mungkin bimbang tentang bagaimana rasanya sakit hendak bersalin itu. Bagaimanakah anda akan menangani sakit itu? Bagaimanakah suami anda menghadapinya?
Jika anda akan menjalani caesarean terancang, bercakaplah dengan pakar obstetrik tentang apa yang akan berlaku pada hari itu. Merangkakan satu pelan kelahiran caesarean boleh membantu anda merasa lebih yakin dan mampu mengawal situasi.

Anda mungkin boleh melawat wad bersalin dan kelahiran di hospital anda terlebih dahulu. Mengetahui apa yang boleh dijangkakan bermula dari tempat di mana anda akan melahirkan bayi boleh menenangkan pemikiran anda. Ia juga akan membantu anda merangka pelan kelahiran anda.

Jika ketakutan melahirkan begitu sukar untuk dikawal sehinggakan anda lebih suka mendapatkan caesarean daripada melalui kelahiran faraj, berbincanglah dengan doktor anda. Dengan sokongan yang sesuai, anda boleh dibantu untuk mengatasi keraguan anda.

6. Bersedia untuk kehidupan berkeluarga
Adalah perkara biasa jika anda bimbang bagaimana mempunyai bayi akan membawa kesan terhadap hubungan anda dengan suami. Keibubapaan ialah sesuatu yang anda akan belajar semasa menjalaninya. Jika anda ada mempunyai kawan yang mempunyai anak kecil, anda boleh menghabiskan masa dengan mereka untuk mendapatkan tip-tip berguna.

Mungkin anda merasa tertekan tentang kewangan anda, pekerjaan, hubungan suami-isteri atau perumahan?

7. Strategi berulang-alik ke tempat kerja
Kebanyakan wanita menjalankan kerja sehingga tarikh sebelum melahirkan. Berulangalik ke tempat kerja boleh menjadi punca utama perasaan tertekan, dan ia menjadi lebih teruk lebih sarat anda mengandung.

Tanya majikan anda jika anda boleh mengelakkan kesesakan jalanraya, mungkin dengan bermula dan selesai lebih awal daripada biasa. Pastikan anda sentiasa berduduk semasa menaiki pengangkutan awam. Jika anda tidak dapat tempat duduk, meminta sesiapa memberi anda tempat duduknya.

Wanita hamil yang menaiki transit aliran ringan atau light rail transit (LRT) Light Rail Transit di Lembah Klang berhak mendapat keutamaan dari segi tempat duduk. Jangan berasa malu. Kebanyakan orang cukup bersedia untuk memberikan kerusi mereka, mereka hanya perlu diingatkan!

8. Hal-hal kewangan
Memang tidak dinafikan, mendapat bayi boleh mengurangkan jumlah kewangan anda. Jika anda bimbang tentang bagaimana anda boleh mampu segala-galanya, buatlah senarai barang-barang yang anda fikir anda perlukan. Tentukan barang-barang yang anda boleh pinjam daripada rakan-rakan atau keluarga.

Anda mungkin tidak akan perlu membeli semua yang ada dalam senarai anda. Beberapa bahan, seperti raga pembawa bayi, hanya boleh digunakan untuk beberapa bulan, jadi bertanya-tanyalah sekiranya ada yang boleh dipinjam. Ada kemungkinan baik barang itu berada dalam keadaan baik sebab pemilik asal hanya menggunakannya untuk dua atau tiga bulan saja!

Pastikan anda mendapatkan hak penuh bagi cuti bersalin dan gaji. Dapatkan maklumat lanjut tentang apa-apa faedah tambahan yang layak diterima dengan menyemak perjanjian kolektif dengan wakil kesatuan pekerja atau kontrak pekerjaan. Dapatkan nasihat daripada pengurus sumber manusia anda.

9. Cuba terapi tambahan
Urutan adalah cara yang hebat untuk mengurangkan perasaan tertekan. Bacalah mengenai teknik-teknik urut untuk bersalin. Anda dan suami boleh mencubanya sekarang. Ini akan merelakskan anda, dan memberikan suami banyak latihan sebelum hari bersalin sebenar! Jika anda menggunakan minyak pati aromaterapi untuk urutan atau rawatan lain, adalah penting untuk memastikan ianya selamat untuk digunakan semasa hamil.

Teknik meditasi dan visualisasi positif boleh membantu. Visualisasi positif adalah di mana anda membayangkan satu gambaran senario yang damai. Cuba visualisasi kebun bunga dan lihat sama ada ia mujarab untuk anda. Pilih satu-satu masa apabila anda tahu anda tidak akan diganggu dan cuba untuk dapatkan masa sekurang-kurangnya 30 minit. Ini benar-benar boleh memanfaatkan anda, dan ia tidak melibatkan kos sesen pun!

10. Layani diri anda dengan baik
Ketawa adalah salah satu cara terbaik untuk merelakskan badan. Jadi, berjumpalah dengan kawan-kawan, tontonlah DVD lucu dengan suami anda, atau pergilah ke pawagam. Jika anda mampu, pergilah bercuti di hujung minggu dan manfaatkanlah sepenuhnya masa yang ada untuk anda bersama-sama.

Kehamilan juga masa yang paling sesuai untuk melayankan diri anda dengan semua rawatan kecantikan yang biasanya anda enggan membelanjakan wang. Jika bonjol perut menjadi terlalu besar untuk anda memotong kuku jari kaki, dapatkan pedikur. Jika anda mahu menjimatkan wang, adakan mini spa di rumah. Berbaik-baiklah dengan diri sendiri. Sesungguhnya anda berhak untuknya.

Bagaimana jika saya masih berasa tertekan?

Perolehilah semua maklumat yang ada tentang kehamilan dan menjadi seorang ibu baru. Melengkapkan diri dengan pengetahuan dapat membantu mengurangkan kebimbangan yang disebabkan kurang kepastian. Baca buku-buku tentang kehamilan dan dengarlah cerita-cerita positif dan bahagia dari kawan-kawan anda tentang kehamilan mereka serta proses bersalin dan pengalaman melahirkan.

Anda mungkin mendengar beberapa cerita yang tidak begitu positif daripada ibu-ibu yang telah mengalaminya, tetapi jangan bertanya berlebihan tentang kesulitan-kesulitan yang mungkin berlaku. Ia tidak mungkin berlaku kepada anda. Sebaliknya, berikan tumpuan kepada bagaimana anda berasa dan apa yang sedang berlaku kepada diri anda sekarang.

Jika anda sudah mengalami kemurungan, ianya mungkin membuat kebimbangan anda lebih buruk. Jika perasaan tertekan anda telah meningkat ke tahap di mana anda tidak lagi dapat bertahan, berbincanglah dengan doktor atau guru kelas antenatal anda. Mereka mungkin dapat merujuk anda kepada kumpulan sokongan, kaunselor atau ahli psikoterapi.

Adalah idea yang baik untuk mendapatkan bantuan yang anda perlukan sekarang. Ini memastikan rangkaian sokongan anda dan strategi menangani keadaan sudah tersedia apabila bayi anda dilahirkan.

Kami di Chentamanis mengucapkan goodluck dan  tahniah kepada pasangan yang bakal menimang cahaya mata ! Semoga berjaya mengawal emosi ketika hamil ya !

 

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published.