Jika anda tak yakin diri, satu kerja pun anda tak akan mampu buat dengan baik dan hebat. Bila anda asyik merendahkan diri sendiri, potensi dan skil yang ada dalam diri anda akan semakin berkarat. Jika dalam bisnes, anda tak yakin anda boleh buat duit, anda tak akan mampu buat duit. Apa yang anda dapat semuanya bergantung pada keyakinan anda. Jadi, jom lihat 5 cara untuk tingkatkan keyakinan diri untuk kebaikan bisnes anda.
1) Berhenti bandingkan kekuatan orang dengan kelemahan anda
Anda yang lemah dan tak yakin dengan kekuatan diri sendiri akan sentiasa cari ruang untuk bandingkan kelebihan orang lain dengan kekurangan diri sendiri. Ia satu perbandingan yang tidak adil. Kelebihan patutnya dipadankan dengan kelebihan juga. Malah, sepatutnya anda jadikan kelebihan mereka sebagai pemangkin semangat anda untuk anda turut sama milikinya, supaya anda akan sama-sama berjaya macam mereka. Anda patutnya lihat dan belajar cara untuk mengasah skil dan kemahiran anda dengan lebih lagi. Otak manusia belajar melalui imitasi dan repitasi. Jadi, jika anda nampak sesuatu kelebihan pada orang lain, tiru dan ulang sampai anda pun sama-sama ada kelebihan itu.
2) Manfaatkan ketakutan anda
Apa yang anda takutkan? Anda takut orang lain tak hargai anda? Anda perlu luahkan supaya mereka tahu anda mahu dihargai. Tak siapa boleh baca fikiran orang lain. Semuanya perlu diluahkan melalui komunikasi. Cakap, tulis. Anda takut anda kehilangan rakan baik jika anda berjaya kelak? Anda perlu beritahu rakan baik anda, apa misi anda, apa kemahuan anda, apa sokongan yang anda mahu dari mereka. Semuanya berbalik pada komunikasi.
3) Ambil tahu dan ambil berat tentang pemikiran orang – 2 perkara berbeza
Anda boleh ambil tahu apa yang mereka borakkan atau gosipkan pasal anda. Tapi anda tak boleh ambil berat tentang apa yang mereka perkatakan. Anda tak perlu risau. Buat apa risau? Lebih baik anda fokus perbaiki diri dan menambahkan pendapatan. Lagi satu, tak usah layankan cakap-cakap negatif mereka. Dengar, dan ubah jadi lebih baik dan jangan lupa layan mereka dengan lebih baik supaya mereka akan termalu sendiri nanti kerana berfikiran atau melayan anda sebegitu rupa. Perkara negatif tak usah dipanjang-panjangkan. Buat rugi masa saja.
4) Anda rasa orang lain lebih tahu tentang anda berbanding diri anda sendiri?
Anda atau mereka yang sedang menjalani kehidupan seharian anda? Relaks. Mereka tak tahu pun sebenarnya apa yang berlaku dengan kehidupan seharian anda. Mereka cuma boleh meneka dan mengagak. Mereka tak tahu pun anda tak yakin dengan diri, melainkan anda tunjuk pada mereka. Mereka pun tak tahu apa dalam perancangan anda melainkan anda yang beritahu. Jadi, relaks. Anda seorang saja yang tahu apa kekurangan anda. Dan jangan malu. Kekurangan bukan kecacatan kekal yang tak boleh diperbaiki. Usaha dan usaha lagi sampai anda berjaya. Usaha sampai anda rasa keyakinan anda tak akan goyah walau kuat mana pun diusik.
5) Keyakinan datang daripada tindakan
Bila anda sedar apa yang anda perlu buat, anda mesti ambil tindakan. Keyakinan akan datang setiap kali anda mencipta tindakan. Keyakinan bertambah setiap kali anda berjaya dengan tindakan anda. Nampak dua perkara berbeza itu? Anda mahu membina keyakinan diri, anda perlu belajar untuk bermula. Tak mula, tak yakin. Dah mula, keyakinan akan datang dan hadir lebih banyak lagi.
Jadi, mulakan saja tindakan yang anda dah rancangkan. Kalau anda tak buka langkah, sampai bila pun anda tak akan tahu anda mampu atau tidak. Lebih baik gagal mencuba daripada gagal kerana tidak mengambil peluang.