Antara perkara yang paling ditakuti oleh pasangan yang sudah pun berkahwin adalah apabila cinta pasangan mula pudar dan beralih arah. Amat penting untuk kita mengetahui cara rumah tangga bahagia agar pernikahan yang terbina kekal hingga akhir hayat.
Jadi, bagaimanakah caranya untuk mengelakkan pasangan kita mencari cinta lain dan pergi dari perkahwinan kita?
- Letakkan pasangan sebagai nombor SATU
Adalah amat penting untuk kita sentiasa meletakkan pasangan kita sebagai nombor satu, berbanding orang lain. Selepas ada anak, amat mudah untuk kita terlepas pandang tentang hal ini. Keperluan fizikal dan emosi suami atau isteri sering diabaikan sehingga mereka mula rasa tidak disayangi. Suami atau isteri anda adalah tiang sokongan utama dalam hidup anda. Hargai dan berikan mereka keutamaan sentiasa.
2.Buat pasangan rasa dihargai
Kata-kata seperti “terima kasih”, “saya minta maaf”, dan “saya sayang awak” jangan pernah lupa untuk diucapkan setiap hari.
Ia mungkin nampak remeh-temeh sehinggakan ada yang berasa pasangan mereka mengada-mengada jika dia mahu anda mengucapkan kata-kata ini selalu.
Bukan begitu, kata-kata manis dan ucapan penghargaan sebegini amat penting untuk didengari oleh pasangan. Ia adalah tanda pengakuan ikhlas dari seorang insan bergelar suami atau isteri.
Ia menunjukkan secara jelas yang anda menyayangi dan menghargai dirinya. Tidak percaya? Sila cuba ucap dan lihat betapa lebar senyumannya.
3.Jangan simpan perasaan dalam hati
Selalunya, apabila bergaduh, kita sering memendam rasa. Kita sangkakan lebih baik untuk menyembunyikan rasa sedih, kecewa atau marah hasil perbuatan pasangan.
Ya, itu mungkin penyelesaian jangka pendek. Tapi, ia adalah habit yang tidak bagus untuk jangka masa panjang.
Lambat laun, “bom perasaan” akan meletup jua. Pada masa itu, pergaduhan besar terjadi dan pasangan mula mencari yang lain.
Berkomunikasilah secara baik dan kekalkan rasa hormat ketika berselisih faham. Jika anda tahu cara bergaduh yang sihat, anda pasti dapat mengekalkan kebahagiaan rumah tangga. Hati pun berasa lega, kan?
4.Jangan perkecilkan pasangan
Lagi satu cara rumah tangga bahagia adalah: jangan sekali-kali memperkecilkan pasangan terutamanya di depan anak-anak atau orang lain.
Suami jangan mengata kelemahan isteri depan anak-anak dan isteri jangan memperlekeh kebolehan suami di depan saudara-mara.
Ini amat penting bagi memastikan setiap pasangan kekal hormat suami dan isteri masing-masing.
Ucap yang baik-baik, ia pasti dapat membuatkan hati mereka berbunga-bunga kerana dipuji oleh suami atau isteri sendiri.
5.Banyakkan berdoa untuk pasangan
Yang lebih penting, sentiasalah berdoa kepada Tuhan semoga cinta yang ada dalam diri suami atau isteri kita itu akan kekal sehingga ke syurga.
Tiada siapa yang dapat mengawal rasa cinta dalam hati orang lain. Malah, rasa cinta dalam diri kita sendiri pun tiada dalam kawalan kita!
Hanya Tuhan sahaja yang dapat meletakkan rasa sayang dan rindu dalam hati, maka berdoalah selalu. Tuhan pasti kabulkan!