Dosa Suami Terhadap Isteri

Tanpa sedar, ada dosa suami terhadap istri kerana kurangnya ilmu dan pengetahuan dalam rumah tangga yang dibina. Bahkan, diri seolah-olah terasa sudah ‘pandai’ mengemudi rumah tangga sampai menyakitkan hati isteri pun tidak perasan lagi. Yang isteri pula hanya mampu mendiamkan diri takut diherdik, dimarah, dipukul atau diceraikan oleh suami.

9 Dosa Suami Terhadap Isteri                  

  1. Tidak ajar agama kepada isteri

Dalam perkahwinan, suami adalah imam dan ketua keluarga. Maka, anda adalah individu yang harus membimbing isteri hingga ke syurga. Ajaklah isteri bersolat berjemaah, membaca Al-Quran bersama isteri, mengajaknya ke masjid atau majlis ilmu, mengajar isteri tentang aurat dan sebagainya. Tapi, jika suami tidak bimbing isteri dengan baik jadi bagaimana wanita muslimah itu boleh dibentuk?

2. Selalu mencari kesalahan isteri

Suami juga tidak harus mencari kesalahan isteri sekiranya ada kesilapan di mana-mana tegurlah dia dengan cara yang berhemah dan didiklah isteri dengan penuh kasih dan sayang. Jika isteri tak pandai masak, belikan dia buku resepi supaya dia boleh belajar masak. Jika isteri tak pandai berhias diri, belikan dia pakaian cantik-cantik, alat mekap dan sebagainya supaya dia tampil menarik di hadapan anda. Mudahkan? jadi lakukan semua ini jika ingin lihat isteri gembira.

3. Tidak menyediakan nafkah zahir & batin pada isteri

Isteri berhak mendapatkan nafkah zahir dan batin daripada suaminya serta hak ini tidak boleh diambil ringan oleh suami kerana ia adalah kewajipan. Sekiranya suami culas atau terlupa nak bagi nafkah pada isteri maka isteri boleh mengambilnya mengikut kemampuan suami meskipun tidak diketahui.

4. Selalu marah-marah dan tiada sifat prihatin

Isteri dinikahi bukan untuk dizalimi tapi untuk disayangi, dibelai dan dimanjai maka hargailah isteri anda dengan sebaik-baiknya. Jika terdapat apa-apa kesalahan yang dilakukan tegur dengan baik dan penuh kasih sayang. Sekiranya suami sering marah isteri, tidak mustahil timbulnya rasa kurang hormat, sakit hati dan dendam yang mungkin boleh terkumpul dalam hati isteri.

5. Tak pernah tolong urusan rumah

Minta tolong sidai kain, basuh baju atau sapu sampah semua suami mengelak dan tak mahu buat. Bagi suami, tugas itu adalah kerja isteri maka anda yang patut siapkan. Inilah yang dikatakan dosa suami terhadap istri hingga membuatkan isteri berkecil hati.  Tak salahkan kalau nak bantu isteri buat kerja rumah. Paling tidak buang sampah, kemas meja makan, susun bilik atau kerja-kerja ringan yang lain. Tentu ia dapat menggembirakan hati isteri.

6. Sebarkan aib isteri

Dalam kita tak sedar, kadang-kadang ada suami yang selalu menceritakan kisah di tempat tidur dengan rakan-rakannya yang lain. Tahukah anda itu sebenarnya satu dosa pada isteri? Rahsia tempat tidur sepatutnya kisah yang tak perlu diceritakan kepada orang lain dan ia adalah rahsia yang kalian berdua saja yang boleh tahu.

7. Terburu-buru menceraikan isteri

Ha…ini yang sekarang tengah menjadi viral dan trend apabila suami secara terburu-buru menceraikan isteri tanpa sebab. Lebih menyakitkan penceraian itu terjadi dek kerana orang ketiga. Adakah anda pasti perempuan tersebut lebih baik akhlaknya berbanding isteri yang diceraikan itu? Sebelum apa-apa tindakan melulu dibuat, sebaiknya fikir secara waras sebelum menuturkan kata yang boleh mengguris hati isteri.

8. Tak berlaku adil apabila berpoligami

Nak kahwin sampai dua atau tiga atau empat, tapi tak pernah berlaku adil hingga hak isteri pertama diabaikan. Malah dengan ketidakadilan itu boleh menyebabkan anak-anak simpan perasaan benci dan masyarakat mencemuh tindakan busuk anda itu sekaligus menghancurkan institusi poligami itu sendiri.

9. Tidak cemburu bila wajah isteri jadi tatapan orang lain

Ada suami yang suka tayang kecantikan isterinya pada orang lain sama ada melalui video, merakam gambar isteri kemudian  update dalam sosial media atau sebagainya. Kemudian rasa bangga apabila orang mengatakan isteri anda cantik. Sedangkan kecantikan isteri itu harus ditonjolkan pada suami sahaja. Yang anda pergi  upload untuk minta orang komen ‘cantik’ itu kenapa ya?

Jika anda ada salah satu sikap di atas diharap dapat sedar dengan cepat sekaligus menyelamatkan rumah tangga yang dibina itu. Semoga bermanfaat.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.