Indahnya Membina Rumahtangga

Assalamualaikum..

“Diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. (Ar-Rum: 21)
 

Perkahwinan merupakan cara untuk meletakkan perasaan kasih dan sayang kepada pasangan dilandasan yang betul. Ikatan perkahwinan merupakan ikatan yang dibina atas tuntutan agama dan bukan atas kehendak nafsu semata-mata. Perkahwinan yang bahagia disulami dengan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Perkahwinan dapat mengelakkan manusia daripada gejala-gejala tidak sihat dan yang dilarang oleh agama. Pilihlah wanita yang sesuai untuk dijadikan isteri kerana wanita yang baik tahu akan tanggungjwabnya kepada suaminya.

“Janganlah mengahwini wanita-wanita kerana kecantikan. Mungkin kecantikan itu memburukkan hidup. Jangan mengahwini mereka kerana harta, mungkin harta itu menyebabkan kezaliman mereka. Tetapi kahwinilah mereka atas dasar agama. Seorang sahaya yang hitam, berbibir tebal yang beragama adalah lebih baik. (Diriwayatkan oleh Ibn Majah).

“Wanita-wanita yang keji diperuntukkan untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji diperuntukkan untuk wanita yang keji pula, dan wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi waita yang baik pula.” (An Nur: 26) 

Alangkah indahnya perkahwinan yang dibina jika suami isteri menjalankan tanggungjawab yang sempurna. Jadikanlah Rasululullah s.a.w sebagai contoh terbaik dalam kehidupan berumahtangga. Baginda s.a.w merupakan suami yang penyayang dan ketua keluarga yang terbaik.Suami merupakan ketua keluarga dan isteri wajib taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan tuntutan agama. Antara tanggungjawab isteri ialah taat kepada suami, menjaga maruah suami, membelanjakan harta suami dengan betul dengan izin suami, meminta izin untuk keluar rumah, menghiburkan hati suami, berhias untuk suami dan lain-lain lagi. 

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Bila isteri itu mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadan, memelihara kemaluannya dan mematuhi suruhan dan larangan suaminya, maka akan dimasukkan dia ke dalam syurga.” (riwayat Abu Hurairah) 
 
Manakala tanggungjawab suami pula ialah memberi nafkah kepada isteri, menggauli isteri dengan baik, menyediakan keperluan isteri, mendidik isteri dan lain-lain lagi.

 Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Aisyah pernah ditanya apa yang dilakukan oleh Rasullulah SAW dalam rumahtangganya? Jawab Aisyah: Nabi SAW biasa membantu kepentingan keluarganya. Menyapu rumah, menjahit baju yang koyak, memperbaiki sepatu dan memerah susu kambing. Bila tiba waktu solat tiba baru baginda berhenti, kemudian menunaikan solat.” 

Kesimpulannya, cinta halal yang dibina untuk mendapatkan rahmat Allah s.w.t akan memberikan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Semoga perkahwinan yang dibina kekal hingga ke syurga.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.