Keluarga adalah teras dan asas dalam perhubungan antara manusia dengan manusia. Jika hubungan keluarga sudah rengang, maka hancurlah hubungan-hubungan yang lain. Dan di dalam sebuah rumah tanggalah tegaknya kepimpinan seorang lelaki bernama suami. Jangan harap seseorang itu mampu memimpin ummah sebelum berjaya memimpi orang rumah.
Apabila berbicara tentang perkahwinan semua menganggapnya indah, namun sedarkah mereka dalam sesebuah perkahwinan ada turun naiknya. Ini pesanan buat ketua rumah tangga dan imam buat keluarga.
Rasulullah SAW berpesan terus kepada suami: “sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu”. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasa kasih sayang.
Sehubungan dengan itu terdapat beberapa keperluan (zahir dan batin) yang mesti diusahakan oleh seorang suami sebagai melengkapkan infrastruktur dan prasarana dalam menyara hidup, mendidik dan memimpin isterinya. Tugas memenuhi keperluan ini merupakan tanggungjawab paling asasi dan faktor yang paling kritikal untuk menentukan kejayaan ataupun kegagalannya dalam sesebuah rumah-tangga.
PENUHI 4 KEPERLUAN ISTERI
Sebagai imam, suami pada dasarnya wajib memenuhi empat keperluan isterinya.
- Pertama – Keperluan fizikal dan material, seperti soal makan minum, pakaian, tempat tinggal dan sakit demam isterinya. Ini merupakan keperluan paling asas. Selagi keperluan ini dipenuhi, maka itu petunjuk bahawa suami masih mahu bertanggungjawab walaupun mungkin ada kelemahan dalam memenuhi keperluan-keperluan yang lain.
- Kedua – Keperluan akal (ilmu). Para suami wajib mengajar isterinya ilmu fardu Ain. Soal taharah, wuduk, solat dan lain-lain. Adalah menjadi tanggungjawab suami mengenalkan isterinya kepada Allah, Rasul dan lain-lain elemen dalam rukun iman (Tauhid). Kemudian disusuli cara-cara beribadah asas dalam rukun Islam (Feqah) diikuti pengalaman nilai-nilai mulia pada diri (adab dan akhlak).
- Ketiga – Keperluan emosi. Seorang suami mesti memberi kasih sayang kepada isterinya. Untuk membina dan mengekalkan kasih sayang, maka suami harus menjadi pendegar yang baik kepada isterinya. Ingatlah, tanggungjawab pertama cinta ialah mendengar. Suami yang baik adalah seorang pendengar yang baik.
- Keempat – Keperluan batin atau rohani. Ini bukan sahaja merujuk kepada seksual, tetapi keperluan mendapat pendidikan dan akhlak yang baik untuk diteladani. Keperluan ini sangat sukar diisi oleh suami sedangkan ini adalah keperluan yang paling utama berbanding dengan keperluan lain. Bukan itu sahaja malah ada suami yang tidak menganggap soal ini sebagai satu keperluan pun. Apa yang penting hanyalah fizikal dan akal semata-mata.