Kursus Pra Perkahwinan Kukuhkan Ikatan Kekeluargaan
Ikatan cinta dan kasih dalam sesebuah perhubungan seharusnya tidak hanya mekar ketika hangat bercinta semata-mata, bahkan mesti terus dibajai sesudah memasuki alam rumah tangga.
Menyedari pengukuhan institusi perkahwinan amat penting bagi membendung masalah penceraian yang semakin meningkat di negara ini, tiga agensi iaitu Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) negeri bergabung buat julung kalinya menganjurkan Kursus Pra dan Pasca Perkahwinan di Kompleks Darul Huda, Taman Kesidang .
Menariknya, kursus yang bertujuan memberi pengetahuan kepada pasangan yang akan mendirikan rumah tangga itu turut dihadiri oleh pasangan mualaf dan perkahwinan campur yang telah berumah tangga bagi berkongsi pengalaman serta menambah ilmu dalam memperkukuh hubungan kekeluargaan.
Pasangan mualaf, Hasbullah Abdullah, 58, dan isterinya, Munirah Abdullah, 50, berkata, biarpun sudah dianggap senior dari segi umur berbanding peserta lain yang jauh lebih muda, namun pendedahan serta perkongsian pengalaman dalam rumah tangga mampu memberi impak positif kepada peserta yang hadir.
Bekas sami kuil Seri Mahamariaman, Batu 7, Paya Rumput, di sini itu yang pernah membubarkan perkahwinan pada 2005 kerana memeluk agama Islam berkata, dia terpanggil menyertai kursus tersebut bersama isterinya demi menambah erat kerukunan rumah tangganya yang dibina sejak 1977 lagi.
“Saya yang beragama Hindu pernah membubar perkahwinan kerana memeluk Islam. Puncanya ialah sehari selepas tsunami melanda Aceh, Indonesia pada 26 Disember 2004 lalu, saya melihat laporan kemusnahan di sana namun masjid masih selamat.
“Sejak itu saya mula terfikir untuk mengkaji tentang Islam dan akhirnya setahun selepas itu saya memeluk Islam.
“Biarpun saya terpaksa berpisah selama lima tahun dengan isteri, namun, alhamdulillah pada Julai 2010 isteri dan seorang daripada empat anak saya turut memeluk Islam dan saya berkahwin semula dengannya,” kata Hasbullah.
Tambah Hasbullah, dia yang suatu masa dahulu pernah digelar samseng serta gemar melakukan aktiviti seperti minum arak dan membeli nombor ekor berubah sedikit demi sedikit setelah memeluk Islam dan ini secara tidak langsung memelihara kerukunan rumah tangganya sehingga kini.
Menganggap setiap yang berlaku mempunyai hikmah, kata Hasbullah, dia dan isteri kini tenang menjalani kehidupan bersuami isteri dan sebagai saudara sesama umat Islam.
Sesungguhnya ilmu sebelum nengikat tali perkahwinan itu sangat penting untuk membina sebuah mahligai bahagia
Sumber : JAIM