Awal perkahwinan, semua terasa indah. Sampailah satu masa kita diuji dengan kesulitan demi kesulitan sebagai pasangan.
Ada yang berpendapat, dengan cabaran inilah hubungan dalam rumah tangga akan benar-benar teruji, terutamanya dari pihak lelaki. Sebaliknya apabila ujian ini diharungi dengan positif, tidak mustahil hubungan anda akan menjadi bertambah kukuh.
Sebagai suami, berikut adalah beberapa keadaan yang mungkin akan menguji kesabaran serta kesetiaan anda terhadap isteri. Pernahkah anda melaluinya?
- Isteri Mengandung
Sesetengah pasangan benar-benar menunggu dan mengharapkan cahaya mata. Tetapi ada juga pasangan yang belum bersedia untuk menerima berita gembira ini.
Kehamilan yang tidak dirancang mungkin akan menyebabkan beberapa perancangan anda terpaksa ditangguhkan. Malah bagi sang suami, ia mungkin juga sesuatu yang ‘menyusahkan’. Mana tidaknya, kehamilan menjadikan isteri kurang sihat, cepat letih, banyak ragam dan perlukan perhatian khusus.
Dari degi ekonomi juga, ia bakal memerlukan kewangan yang lebih untuk perubatan, proses bersalin dan menyara ahli baru. Boleh stress juga kalau tak bersedia secara mental.
2. Isteri Bersalin dan Berpantang
Setelah isteri melahirkan bayi, bermula proses pemulihan atau berpantang. Walaupun berpantang ini bukanlah perkara wajib, tetapi si isteri yang dahulunya menguruskan serba satu kelengkapan suami, kini perlu berehat dan menumpukam perhatian kepada kesihatan diri sendiri serta si kecil.
Dalam tempoh ini, isteri juga akan memerlukan sokongan dan bantuan daripada suami. Susahlah kalau si isteri menguruskan suaminya sendiri. Nak masak, mencuci baju, memandikan bayi, menyusu dan berjaga tengah malam. Bukan semua lelaki pandai buat kerja rumah begini. Kalau suami tak sabar, mungkin mereka akan mengeluh dan rasa terbeban menguruskan isteri. Sebab itulah ada yang mengambil jalan mudah dengan menghantar isteri berpantang di kampung.
Tambahan pula, mereka juga perlu ‘berpuasa’ daripada melakukan hubungan intim dengan isteri sehinggalah luka bersalin kering dan pulih.
3. Isteri Belum Dapat Mengandung
Lain pula kisahnya kalau dapat isteri yang masih belum dapat melahirkan zuriat. Sebagai suami, ada yang merasakan ‘kelakian’ mereka tercalar jika masih belum dikurniakan cahaya mata.
Kemana-mana pergi, asyik ditanya orang sekeliling. Pelbagai petua dan rawatan telah pun dicuba, namun hasilnya masih belum kunjung tiba. Dalam keadaan inilah sepatutnnya suami patut sama-sama memberi sokongan dan tidak putus-putus mendoakan isteri.
Tapi ada pula jenis lelaki yang menanti-nanti saja si isteri memberi ‘lampu hijau’ dan asyik cari peluang menambah ‘cawangan’.
4. Isteri Mula Berubah Penampilan
Ada yang masa bujang dulu kurus dan seksi, lepas bersalin dah lebih berisi. Ada yang masa bekerja dulu seorang yang aktif, konfiden dan bijak dengan pakaian serba lengkap. Tapi kini bila dah jadi surirumah, isteri lebih banyak membuat kerja rumah dengan pakaian ringkas seperti T-shirt dan kain batik jer.
Hati suami pun makin suram dek merasakan isteri semakin ‘comot’ dan ‘tidak berkembang’ . Kalau tak tundukkan pandangan, ramai lagi wanita di luar sana yang menandingi kecantikan dan keremajaan si isteri.
Sesungguhpun begitu, tidak boleh juga hanya menunding jari kepada isteri dengan alasan mereka tak tahu menjaga penampilan. Sudahkah suami membelikan produk penjagan badan, kosmetik dan pakaian yang cantik buatnya? Adakah suami selalu tolong di rumah supaya isteri ada banyak masa untuk berhias dan melakukan apa yang disukainya? Sedarkah bahawa mereka melakukan semuanya ini demi anda dan keluarga juga.
Kepada para suami, setialah pada isteri. Bersabar dan hargailah pengorbanan isteri anda. 4 ujian besar ini menentukan kebahagiaan anda di akhir nanti. Bahagia didunia dan akhirat, insyaAllah..