Uniknya Adat Melayu Dalam Majlis Perkahwinan

Pelbagai cara majlis perkahwinan diadakan oleh setiap pasangan. Zaman berubah, namun masih ramai yang mengadakan majlis secara berlebih-lebihan hanya kerana ingin mengekalkan adat melayu dan tradisi.

Dalam bab perkahwinan, sewajarnya atau lebih afdal melakukan yang diwajibkan mengikut hukum dan syariat Islam. Bagaimanapun, tidak kurang juga yang ingin melakukan aktiviti sampingan yang sebenarnya dilihat hanya untuk memenuhi resmi nenek moyang untuk menambah kemeriahan majlis.

Mengambil contoh amalan masyarakat di selatan tanah air, iaitu di Johor banyak diselitkan elemen adat tradisi seperti amalan melangkah bendul, menabur duit yang dipanggil ‘cukai pintu’, malam berinai kecil, sederhana dan besar.

Perunding dan Pengurus Majlis Perkahwinan, Taib Noh, berkata sebenarnya masih ramai taksub dan menjadikan amalan sampingan itu sebagai sebahagian daripada kemestian.

Katanya, mereka yang ingin berkahwin perlu melalui beberapa prosedur bermula daripada merisik, bertunang dan bernikah kerana itu dianggap perkara paling asas dalam perkahwinan.

Bagi sesetengah kes, pasangan tidak melalui proses merisik dan bertunang, tetapi terus bernikah.

Sebagai contoh, tradisi masyarakat di Johor bermula dengan adat merisik dan pihak lelaki akan bertemu dengan orang yang dipercayai keluarga untuk berjumpa dengan ibu bapa perempuan bagi memastikan anak mereka sudah berpunya atau sebaliknya. Merisik tidak dilakukan pada majlis formal, yang datang merisik bertemu dengan ibu bapa dengan berbual-bual bertanyakan tujuan datang untuk menyunting anak dara.

“Kemudian orang yang merisik datang sekali lagi bagi tujuan meminang. Kali ini mereka datang membawa cincin emas belah rotan sebagai tanda. Sekiranya pinangan diterima, cincin belah rotan akan disarungkan ke jari manis gadis, jika ditolak cincin dibawa pulang.

“Selepas itu, proses perbincangan menetapkan tarikh pertunangan yang lazimnya dengan tempoh ikatan antara satu hingga dua tahun. Sekarang tempoh ikatan lebih cepat,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Hantaran nombor ganjil

Ketika majlis pertunangan, rombongan pihak lelaki membawa pelbagai cenderahati dengan jumlah ganjil yang dipersetujui bersama. Contohnya lelaki akan membawa lima dulang barangan dan dibalas dengan tujuh atau lebih daripada pihak perempuan.

Beliau berkata, pelbagai terma digunakan supaya bait-bait perkataan yang diucapkan lebih berseni.

Pihak lelaki atau perempuan tidak diwakili ibu atau bapa sebaliknya oleh bapa dan emak saudara atau keluarga terdekat untuk berbincang tarikh majlis pertunangan, diikuti wang hantaran ditetapkan pihak perempuan.

Keadaan ini sekarang berbeza sekarang apabila pada majlis pertunangan pihak lelaki datang berkunjung dengan berpakaian lengkap berbaju Melayu dan bergambar sama seakan sudah sah sebagai suami isteri.

Beliau berkata, itulah kelainan dan uniknya majlis merisik serta pertunangan di Johor, bakal pengantin lelaki tidak hadir sama.

“Mengenai hantaran pula ia ditetapkan seperti dipersetujui oleh pihak perempuan. Ada dua permintaan iaitu serba satu dan serba berdiri.

Serta satu pihak lelaki perlu menyediakan wang hantaran mengikut jumlah yang dipersetujui dengan barangan cenderahati iaitu sepersalinan, kasut dan beg tangan.

Permintaan serba berdiri pula pihak lelaki perlu sepersalinan, kasut beg tangan dan barangan kemas meliputi rantai leher, gelang tangan, cincin, baju, kasut, tas tangan dan manisan sebagai iringan. Semua barangan ini akan dibawa ketika majlis pernikahan,” katanya.

Langkah bendul

Taib berkata, perbezaan lain yang tidak diamalkan di negeri lain ialah, konsep ‘langkah bendul’, iaitu memberikan sebentuk cincin atau persalinan kepada kakak atau abang yang belum berkahwin kerana adiknya menamatkan zaman bujang terlebih dulu.

Bagi majlis berinai pula diadakan dalam tiga fasa, iaitu berinai kecil, sederhana dan besar.

“Majlis pernikahan dibuat pada hari lain atau pada waktu malam atau sebelah pagi dan diikuti majlis persandingan pada sebelah petang. Yang menariknya, pengantin lelaki akan diarak sejauh 100 hingga 200 meter ke rumah pengantin perempuan dengan diiringi rombongan saudara-mara serta paluan kompang dan rebana.

Setiba di pekarangan rumah mereka disambut dengan kumpulan silat sebelum melangkah masuk ke ruang persandingan.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.